fb fb fb fb fb

Ukraine terima €1 bilion bantuan ekonomi daripada Kesatuan Eropah

FOTO HIASAN

BRUSSELS, 8 Mei- Suruhanjaya Eropah pada Khamis menyalurkan bantuan belanjawan sebanyak €1 bilion (US$1.1 bilion) kepada Ukraine sebagai sebahagian daripada program bantuan ekonomi berskala besar, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Dana itu merupakan sebahagian daripada pinjaman bernilai €45 bilion yang disediakan oleh negara-negara demokrasi Barat maju ekonomi dalam Kumpulan Tujuh (G7) dan Kesatuan Eropah (EU).

Dengan pembayaran terbaharu itu, EU telah menyalurkan €6 bilion sejak awal tahun ini. Keseluruhannya, blok itu komited untuk meminjamkan €18.1 bilion kepada Ukraine di bawah program berkenaan.

Pinjaman tersebut akan dibayar balik menggunakan hasil daripada aset Rusia yang dibekukan di EU.

Sejak permulaan pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022, EU dan 27 negara anggotanya telah menyediakan hampir €150 bilion dalam bentuk bantuan ekonomi, kemanusiaan dan ketenteraan kepada Ukraine.- BERNAMA-dpa

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE