fb fb fb fb fb

Israel arah penutupan tiga sekolah PBB di Baitulmaqdis timur

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 8 Mei- Israel menutup tiga sekolah milik Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis timur.

Agensi berita AFP melaporkan, notis penutupan dalam bahasa Ibrani ditampal di pintu masuk sekolah.

Notis tersebut menyatakan sekolah berkenaan dilarang mengendalikan pendidikan atau menggaji guru, tenaga pengajar atau mana-mana kakitangan lain.

Institusi itu juga dilarang untuk menempatkan pelajar atau membenarkan kemasukan pelajar.

Pengarah UNRWA di Tebing Barat, Roland Friedrich pula memberitahu, pasukan keselamatan Israel mengepung tiga sekolah UNRWA di Kem Shuafat, Baitulmaqdis timur.

"Seramai 550 murid berumur enam hingga 15 tahun hadir ke sekolah berkenaan ketika langkah itu dikuatkuasakan.

"Mereka berisiko kehilangan akses kepada pendidikan serta-merta," tegasnya.

Menurutnya, polis Israel juga ditempatkan di tiga sekolah berasingan di bahagian lain di Baitulmaqdis timur.

Pihak Berkuasa Palestin dalam kenyataan mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai "pelanggaran hak kanak-kanak untuk pendidikan". - AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello