NEWBURGH, 4 Januari– Presiden Venezuela, Nicolas Maduro tiba di sebuah pangkalan tentera di Amerika Syarikat (AS) pada malam Sabtu sebelum dipindahkan ke New York City, susulan penahanannya oleh tentera AS di Caracas.
- Maduro dikelilingi ejen FBI selepas tiba di pangkalan tentera AS, kemudian dibawa ke New York.
- Beliau diterbangkan dengan helikopter ke Manhattan diiringi pasukan penguatkuasa besar.
- Dirancang dibawa ke pejabat DEA sebelum ditempatkan di Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn.
- Penjara itu sama yang menempatkan Sean "Diddy" Combs semasa perbicaraan tahun lalu.
- Maduro dan isterinya bakal dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan jenayah narkotik dan pemilikan senjata.
Maduro dikelilingi ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) ketika beliau turun daripada pesawat kerajaan AS dan diiringi perlahan-lahan di landasan sebuah kemudahan Pengawal Kebangsaan di negeri New York.
Pemimpin berhaluan kiri itu kemudian diterbangkan dengan helikopter ke Manhattan, di mana pasukan penguat kuasa undang-undang dalam jumlah besar telah menunggu, menurut rakaman imej AFP.
Menurut laporan media AS, pemimpin berusia 63 tahun itu dijadualkan dibawa terlebih dahulu ke pejabat Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA), sebelum ditempatkan di Pusat Tahanan Metropolitan, sebuah pusat tahanan persekutuan di Brooklyn.
Pusat tahanan berkenaan merupakan penjara sama yang menempatkan penyanyi rap terkenal, Sean “Diddy” Combs, sepanjang perbicaraannya tahun lalu.
Maduro dan isterinya dijangka dihadapkan ke mahkamah di New York pada tarikh yang belum ditetapkan.
Mereka berdepan pertuduhan termasuk jenayah narkotik, menyeludup bertan-tan kokain ke AS serta memiliki senjata api secara haram. -AFP