fb fb fb fb fb

Ambulans udara terhempas di kawasan pergunungan chile, enam orang dikhuatiri maut

FOTO AFP

CURACAVÍ, 8 Mei- Pasukan penyelamat Chile kini sedang giat menjalankan operasi pencarian sebuah pesawat ambulans udara yang terhempas di kawasan pergunungan tengah negara itu, menurut kenyataan pihak berkuasa penerbangan awam.

Pesawat tersebut, yang membawa seorang pesakit bersama kru perubatan, dilaporkan terputus hubungan dengan pusat kawalan ketika melalui kawasan berhampiran Gunung Cerro El Roble di Curacaví, di luar ibu negara Santiago, menurut Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Chile (DGAC), lewat malam Rabu.

“Pesawat ambulans sivil jenis Piper Cheyenne II, pendaftaran CC-CCC, yang berlepas dari Santiago menuju ke Arica, telah terhempas dengan enam individu di dalamnya,” jelas DGAC menerusi satu hantaran di platform X (dulu dikenali sebagai Twitter).

“Operasi pencarian besar-besaran sedang dijalankan.”

Datuk Bandar Curacaví, Christian Hernández, dalam temu bual bersama stesen Televisión Nacional de Chile (TVN), memaklumkan bahawa kawasan pencarian amat mencabar kerana terletak di altitud tinggi dan laluan ke lokasi tersebut turut mengalami kerosakan akibat hujan lebat baru-baru ini.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut berkenaan keadaan mangsa yang terlibat. Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca insiden dan semua usaha tertumpu kepada misi mencari dan menyelamat.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE