LA PAZ, 4 Januari- Warga Venezuela di Bolivia dan Chile turun ke jalanan pada Sabtu bagi meraikan campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela yang membawa kepada penyingkiran dan penahanan Presiden, Nicolas Maduro.
Di La Paz, seorang migran Venezuela menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang membuatkan beliau berasa “bersyukur dan penuh harapan”.
Sementara itu di Santiago, Chile, seorang lagi rakyat Venezuela berkata beliau berharap hala tuju negara itu selepas ini akan berlangsung dalam suasana tenang dan aman sepenuhnya, tanpa melibatkan pertumpahan darah.
AS melancarkan serangan ke atas Venezuela pada awal pagi Sabtu waktu tempatan sebelum menyingkirkan Maduro daripada tampuk pemerintahan.
Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, bagaimanapun muncul di televisyen nasional pada petang Sabtu bersama beberapa pegawai kanan kerajaan untuk mengecam tindakan tersebut, yang disifatkannya sebagai satu penculikan.
Kerajaan Maduro sebelum ini menyaksikan salah satu krisis penghijrahan terbesar dunia dalam sejarah moden.
Sejak 2014, seramai 7.7 juta rakyat Venezuela, atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk negara itu, telah meninggalkan tanah air mereka akibat kesukaran mendapatkan makanan serta mencari peluang kehidupan yang lebih baik di luar negara, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). -REUTERS
