DAVOS, 17 Januari- Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba berkata pada Rabu bahawa usaha mendapatkan kawalan penuh di ruang udara, menjadi keutamaannya tahun ini.
Kuleba memberikan komen itu pada Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung di Davos, Switzerland, beberapa jam selepas serangan dron dan peluru berpandu Rusia pada Selasa.
Serangan itu telah mencederakan kira-kira 20 orang di seluruh Ukraine dan meninggalkan kesan 'kawah besar' di bandar selatan Odesa.
“Pada 2024, sudah tentu keutamaan adalah untuk menghapus Rusia dari langit."
"Ini kerana orang yang mengawal langit akan menentukan bila dan bagaimana perang akan berakhir,” kata Kuleba dalam ucapan kepada Forum Ekonomi Dunia, di sini.
Kiev telah lama menyeru negara barat untuk menghantar jet pejuang canggih, dalam usaha menyokong tenteranya yang bertapak di selatan dan timur negara itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata minggu ini bahawa Perancis akan menghantar pakej amunisi baharu sekitar 40 peluru berpandu jelajah jarak jauh (SCALP) serta ratusan bom untuk membantu Ukraine.
Bagaimanapun, ikrar itu adalah terhad berbanding serangan tentera Rusia yang menghujani bumi Ukraine dengan pelbagai jenis peluru.
Sementara itu, Kuleba turut meminta agar negara sekutunya bersabar dan terus menyokong Kiev untuk menoktahkan kemenangan.
"Kami sedang melawan musuh yang kuat, musuh yang sangat besar dan musuh yang tidak tidur. Ia mengambil masa."
"Kami mengalahkan mereka di darat pada 2022. Kami mengalahkan mereka di laut pada 2023 dan kami memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengalahkan mereka di udara pada 2024," tambah Kuleba kepada dalam forum di Switzerland.
Beliau turut mengulangi kenyataan Presiden Volodymyr Zelensky, pada Selasa bahawa Ukraine mesti mendapat kawalan penuh di udara untuk meningkatkan usaha penambahbaikan di daratan.
Beberapa negara anggota NATO sedang melatih juruterbang Ukraine menggunakan jet pejuang F-16 termasuk Denmark yang akan menghantar 19 buah jet pejuang F-16 pada suku kedua tahun ini.
Washington sebelum ini menentang membenarkan pemindahan jet itu susulan akan dianggap sebagai pihak terbabit secara langsung dalam perang Kiev-Moscow.- AFP