fb fb fb fb fb

Letupan kilang mercun di Thailand, 23 orang terkorban

Foto AFP

BANGKOK, 17 Januari- Letupan sebuah kilang mercun di Thailand pada Rabu telah mengorbankan 23 nyawa.

Menurut gabenor wilayah itu, letupan berlaku kira-kira pukul 3.00 petang waktu tempatan, berhampiran perbandaran Sala Khao di wilayah Suphan Buri.

Imej yang dikongsi pasukan perkhidmatan penyelamat tempatan menunjukkan serpihan logam bertaburan di atas tanah dan kepulan asap hitam yang besar.

"Kami menerima laporan daripada pasukan EOD bahawa terdapat 23 orang disahkan meninggal dunia," kata Nattapat Suwanprateep, gabenor wilayah Suphan Buri kepada AFP.

Tambah Nattapat, pegawainya masih dalam siasatan mencari punca yang mencetuskan kejadian tersebut dan tiada laporan kerosakan diterima membabitkan kawasan sekitar.

"Kilang itu beroperasi secara sah dengan lesen yang sah namun punca letupan masih dalam siasatan."

"Setakat ini, kita sahkan hanya terdapat kerosakan pada tingkap kaca sebuah rumah akibat letupan dan tiada laporan lain dalam maklumat kita," kata Nattapat.

Leftenan jeneral polis, Naiyawat Phademchid memberitahu AFP bahawa Perdana Menteri, Srettha Thavisin yang kini berada di Switzerland untuk Forum Ekonomi Dunia, telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata bahawa pegawai telah menutup kawasan sekitar dan akan mula melakukan pengecaman mayat apabila keadaan stabil.

“Secara purata terdapat kira-kira 20 hingga 30 orang bekerja di kilang ini setiap hari,” katanya.

Dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan dalam talian, Perdana Menteri Srettha menyatakan kesedihannya terhadap keluarga mereka yang terbunuh.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM