(Kyrylo Tymoshenko (kiri) dan Mykhailo Podolyak menunggu permulaan rundingan
dengan delegasi Rusia, ketika serangan Rusia ke atas Ukraine berterusan,
di Istanbul, Turki 29 Mac 2022/REUTERS
KIEV, 28 Oktober- Penggunaan elektrik akan dihadkan lagi di wilayah tengah Ukraine selepas serangan baharu tentera Rusia terhadap infrastruktur tenaga negara yang dilanda perang itu.
"Untuk mengelakkan gangguan bekalan elektrik sepenuhnya di wilayah tengah, syarikat tenaga terpaksa mengenakan sekatan yang lebih ketat," kata Timbalan Ketua Presiden Ukraine, Kyrylo Tymoshenko, di media sosial.
Sekatan akan melibatkan kawasan Chernigiv, Cherkasy, Zhytomyr serta ibu kota Kiev dan kawasan sekitarnya.
(Kenderaan di sepanjang jalan Khreshchatyk di Kiev/AFP)
"Langkah sedemikian membolehkan syarikat tenaga membaiki kemudahan yang rosak dengan cepat dan memastikan sistem seimbang," kata pengendali tenaga kebangsaan Ukraine, Ukrenergo dalam satu kenyataan.
Gabenor wilayah Kiev menyeru penduduk agar bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan elektrik untuk tempoh yang tidak ditentukan dan menggunakan elektrik dengan berjimat-cermat.
"Ini adalah langkah terpaksa untuk menstabilkan keadaan," tambah Oleksiy Kuleba.
Di ibu negara, pemotongan bekalan elektrik selama empat jam atau lebih telah pun dilakukan di daerah berselang-seli selama beberapa hari.
Serangan tentera Rusia selama lebih dua minggu telah memusnahkan grid tenaga Ukraine dan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kemudahan kuasa negara itu, dengan musim sejuk semakin hampir. -AFP