JAKARTA, 10 November - Indonesia hari ini menganugerahkan gelaran Pahlawan Nasional, kepada bekas Presiden Suharto yang meletak jawatan pada 1998 selepas protes ganas menamatkan pemerintahan tiga dekad beliau yang dicemari tuduhan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan nepotisme.
Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Presiden Prabowo Subianto, bekas menantu lelaki Suharto, meskipun wujud bantahan daripada aktivis prodemokrasi dan keluarga mangsa pemerintahan keras bekas pemimpin itu. Suharto, yang meninggal dunia pada 2008, merupakan salah seorang daripada 10 penerima gelaran tersebut pada Isnin.
Suharto, seorang pegawai tentera yang menjadi presiden secara rasmi pada 1967, memimpin Indonesia melalui tiga dekad pertumbuhan ekonomi dan kestabilan, sebelum negara dilanda krisis kewangan Asia 1997-98. Potret Suharto dalam uniform ketenteraan dipamerkan di Istana Negara Jakarta bersama penerima lain, termasuk bekas presiden Abdurrahman Wahid dan aktivis buruh Marsinah, yang diculik dan dibunuh semasa era pemerintahan Suharto.
Namun, penganugerahan tersebut menimbulkan kemarahan ramai. Aktivis dan bekas pelajar yang pernah menentang pemerintahan Suharto berpendapat langkah itu mengabaikan perjuangan demokrasi mereka dan berisiko “memutihkan sejarah” era pemerintahan autoritarian. Sebahagian pihak juga membangkitkan isu kekejaman tentera di Timor Timur dan pembunuhan besar-besaran pada 1965, yang mengorbankan kira-kira 500,000 orang, yang sehingga kini tidak pernah disiasat secara rasmi.
Pengkritik melihat gelaran tersebut sebagai isyarat politik di bawah pemerintahan Prabowo, yang pernah berkhidmat sebagai komandan pasukan khas di bawah Suharto dan kini memegang jawatan presiden. Walaupun demikian, kerajaan mempertahankan tindakan itu, dengan Menteri Kebudayaan Fadli Zon menyatakan semua calon, termasuk Suharto, telah memenuhi syarat penganugerahan.-REUTERS