FOTO AFP
London, 30 Januari- Kerajaan Britain akan menawarkan kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), penempatan angkatan tentera termasuk senjata, kapal dan jet pejuang di Eropah. Pengumaman dibuat Perdana Menteri, Boris Johnson pada Sabtu sebagai reaksi kepada pencerobohan Rusia di Ukraine.
Tawaran itu akan dikemukakan kepada Ketua Tentera NATO minggu depan, bakal menyaksikan London menambah dua kali ganda bilangan tentera di timur Eropah berbanding ketika ini sekitar 1,150 anggota.
‘Senjata pertahanan’ akan turut dihantar ke Estonia, menurut pejabat Perdana Menteri itu.
“Pakej ini memberi isyarat jelas kepada Kremlin – kami tidak akan bertolak ansur terhadap usaha ketidakstabilan oleh Rusia dan kami akan kekal teguh berdiri bersama sekutu NATO dalam menghadapi permusuhan dengan Rusia, “ kata Johnson menerusi kenyataan.
“Saya telah mengarahkan angkatan tentera bersedia untuk penempatan di seluruh Eropah minggu depan, bagi memastikan kita dapat memberi sokongan kepada NATO, sama ada di darat, laut dan udara,” katanya.
Pemimpin Britain itu berkata jika Presiden Rusia memilih ‘pertumpahan darah dan kemusnahan’ di Ukraine ia akan menjadi satu ‘tragedi untuk Eropah.
“Ukraine mesti diberikan hak untuk memilih masa depan sendiri,” tegasnya.
Johnson yang kini berdepan tekanan politik sejak beberapa minggu lalu disebabkan skandal dirinya berkata, dia akan menghubungi Putin dalam tempoh terdekat bagi mendesak pengunduran aktiviti pencerobohan di Ukraiane.
Hubungan antara Rusia dan barat berada pada tahap paling rendah sejak Perang Dingin selepas Moscow menempatkan puluhan ribu tentera di sempadan Ukraine.
Beberapa hari lalu, agensi berita Xinhua melaporkan, Presiden Amerika Syarikat menyatakan negaranya tidak berhasrat menghantar angkatan tentera kepada NATO di Ukraine namun memberi amaran Rusia bakal menerima padah termasuk aspek ekonomi jika menyerang negara bekas republik Soviet itu. -AFP