fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar 'projektil' kali ke-7 bulan ini

 

FOTO AFP

(Gambar menunjukkan Kim Jong Un membuat lawatan di kilang senjata berat di satu lokasi tidak didedahkan)

 

SEOUL, 30 Januari- Mungkin penamat untuk ujian senjata bulan ini? Korea Utara melancarkan ‘projektil’ tidak dikenal pasti, kali ke-7 seumpamanya dilakukan sejak 1 Januari lalu.

Kali terakhir Korea Utara menjalankan ujian senjata paling banyak dalam sebulan adalah pada 2019. Ia selepas rundingan peringkat tinggi antara pemimpin Kim Jong Un dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiada jalan penyelesaian.

Sejak itu, rundingan dengan AS terhenti menyebabkan ekonomi Pyongyang tidak menentu akibat sekatan antarabangsa juga pelaksanaan ketat pencegahan COVID-19.

“Korea Utara melepaskan ‘projektil’ tidak dikenal pasti ke Laut Timur (Laut Jepun)," menurut kenyataan Ketua Turus Bersama Korea Selatan.

Perkara sama disahkan pengawal pantai Jepun yang menyatakan pihaknya telah mengesan pelancaran ‘kemungkinan peluru berpandu balistik’.

Sebagai reaksi kepada sekatan antrabangsa, tahun ini sahaja Pyongyang telah melakukan pelbagai ujian senjata berat termasuk peluru berpandu hipersonik, susulan komitmen Jong Un untuk memodenkan sistem pertahanan negara ketika berucap pada perhimpunan parti tahunan, Disember lalu.

Minggu lalu, Pyongyang menjalankan dua ujian senjata selepas melakukan sekurang-kurangnya empat ujian sama bulan ini termasuk peluru berpandu hipersonik pada 5 dan 11 Januari lalu. -AFP

Media Baharu