BEIJING, 11 Januari – Menteri Kewangan Britain, Rachel Reeves dalam lawatannya ke Beijing menyatakan hasrat untuk membina hubungan "pragmatik" dengan China bagi meningkatkan eksport ke ekonomi kedua terbesar dunia.
Menghadapi tekanan akibat pergolakan pasaran dalam negara, Reeves berusaha untuk menghidupkan kembali perbincangan ekonomi dan kewangan peringkat tinggi yang terhenti sejak 2019.
Reeves menyertai Mesyuarat Dialog Ekonomi dan Kewangan UK-China di Beijing bersama Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, pada Sabtu, sebelum menuju ke Shanghai bersama Gabenor Bank of England, Andrew Bailey, dan pemimpin kewangan lain.
Menurut Perbendaharaan UK, beliau dijadualkan untuk membincangkan perkhidmatan kewangan, hubungan perdagangan, serta kepentingan kerjasama dalam isu perubahan iklim.
Lawatan Reeves itu memberi peluang untuk meyakinkan pelabur bahawa beliau mempunyai rancangan untuk menangani peningkatan mendadak dalam kos pinjaman kerajaan British, yang sebahagiannya disebabkan oleh penjualan bon global yang mengancam pelan bajetnya.
"Peraturan fiskal yang saya tetapkan dalam bajet Oktober adalah tidak boleh dirunding, dan pertumbuhan adalah misi nombor satu kerajaan ini untuk memperbaiki keadaan negara kita," kata Reeves kepada wartawan selepas melawat kedai basikal Brompton di Beijing.
Reeves turut menyatakan bahawa beliau berada di China untuk membuka faedah nyata kepada perniagaan British yang mengeksport dan berdagang ke seluruh dunia, serta memastikan akses yang lebih besar ke ekonomi kedua terbesar dunia.
Lawatan tersebut susulan dialog yang dimulakan tahun lalu antara Perdana Menteri Keir Starmer dan Presiden Xi Jinping, yang merupakan pertemuan pertama antara pemimpin kedua-dua negara sejak 2018.
Pendekatan yang diambil oleh kerajaan Buruh, yang dipilih pada Julai, berbeza dengan pentadbiran Konservatif sebelumnya yang mengambil pendekatan tegas terhadap perbezaan dengan China, khususnya mengenai hak asasi manusia, Hong Kong, dan dakwaan pengintipan oleh China.
Apabila ditanya sama ada Reeves akan membangkitkan isu hak asasi manusia, jurucakap Starmer menjelaskan bahawa lawatannya adalah selaras dengan pendirian London yang mengambil pendekatan strategik terhadap China dan akan mencabarnya "dengan tegas" apabila perlu.
Starmer sebelum ini menyatakan hasrat untuk membina hubungan dengan China yang "berpaksikan kepentingan nasional UK" melalui peningkatan perdagangan, yang mungkin lebih mencabar jika Presiden AS terpilih, Donald Trump, meneruskan ancamannya untuk mengenakan tarif ke atas semua import.
Ditanya sama ada Britain akan mengikuti Washington dan Brussels dalam mengenakan tarif ke atas kenderaan elektrik dari China, Reeves berkata: "Kami sentiasa menilai isu-isu tersebut tetapi kami membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional."
China merupakan rakan dagangan keempat terbesar Britain, dengan perdagangan barangan dan perkhidmatan bernilai hampir 113 bilion pound (RM655 bilion).-REUTERS