LONDON, 12 Mei - United Kingdom menjadi tuan rumah mesyuarat menteri-menteri Eropah pada Isnin bagi membincangkan langkah menangkis pencerobohan Rusia dan memperkukuh keselamatan benua itu, dua hari selepas sekutu Ukraine menggesa Moscow menerima gencatan senjata.
Mesyuarat yang berlangsung di London itu menghimpunkan wakil dari Perancis, Jerman, Itali, Poland, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU) bersama Setiausaha Luar UK, David Lammy, dalam forum dikenali sebagai kumpulan "Weimar+".
Gabungan itu ditubuhkan pada Februari lalu sebagai reaksi terhadap perubahan dasar Amerika Syarikat mengenai konflik Ukraine-Rusia serta keselamatan Eropah secara keseluruhan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Pejabat Luar UK dalam kenyataan memaklumkan Lammy dijangka mengumumkan sekatan tambahan yang menyasarkan pihak yang menyokong pencerobohan Rusia.
Mesyuarat kali ini diadakan susulan lawatan para pemimpin Perancis, Jerman, Poland dan UK ke Kyiv pada Sabtu.
Dalam lawatan itu, mereka bersama Amerika Syarikat menyeru agar Rusia bersetuju dengan gencatan senjata selama 30 hari bagi membolehkan rundingan damai dimulakan.
Ia merupakan mesyuarat keenam kumpulan Weimar+ dan kali pertama dianjurkan oleh United Kingdom.
Menurut Pejabat Luar UK, rundingan ini akan membincangkan usaha menangkis pencerobohan Rusia dan memperkukuh keselamatan Eropah, selain memfokuskan kepada usaha bersama memperkukuh keselamatan serantau serta memastikan keamanan yang adil dan berkekalan untuk Ukraine.
Lammy akan disertai oleh rakan sejawatannya dari Jerman, Sepanyol dan Poland, manakala Perancis akan diwakili Menteri Hal Ehwal Eropah, Benjamin Haddad.
Ketua diplomat tertinggi EU, Kaja Kallas turut dijadualkan hadir dalam mesyuarat berkenaan.-AFP