fb fb fb fb fb

Paus Leo XIV seru gencatan senjata segera di Gaza

Foto Reuters

VATICAN, 12 Mei - Paus Leo XIV pada Ahad menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza, sambil melahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Seruan itu dibuat dalam ucapan yang disampaikan semasa upacara doa pada Ahad dari pejabat beliau yang menghadap Dataran St. Peter di Vatican, selepas dilantik sebagai Paus pada Khamis lepas, menggantikan Paus Francis yang meninggal dunia pada 21 April.

Paus Leo XIV menyentuh mengenai situasi di Gaza dan menyatakan bahawa beliau amat dukacita dengan apa yang sedang berlaku di di Semenanjung Gaza.

Beliau menyeru agar “gencatan senjata segera dan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam yang sudah keletihan...”

Paus Leo XIV turut menyampaikan mesej berkaitan perkembangan antarabangsa, termasuk memperingati ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Beliau berkata: “Perang ini meragut 60 juta nyawa. Seperti yang kerap ditegaskan oleh mendiang Paus Francis, kita kini berhadapan dengan gambaran dramatik Perang Dunia Ketiga yang berlaku secara berperingkat."

Paus Leo XIV turut menggesa para pemimpin dunia, dengan menyatakan: “Saya merayu kepada kuasa besar dunia, dan saya mengulangi rayuan yang tetap teguh: jangan sekali-kali berperang lagi.”- BERNAMA

TETITIA YUSOFF