fb fb fb fb fb

RUU SB17 disifatkan rasis, cetus protes besar di Austin

Orang ramai berhimpun dan membantah di hadapan Bangunan Parlimen Negeri Texas di Austin, Texas, pada 10 Mei 2025, bagi membantah rang undang-undang yang bertujuan mengharamkan warga dan entiti dari negara tertentu seperti China, Iran, Korea Utara dan Rusia daripada membeli hartanah di Texas. / Foto AFP

AUSTIN, 12 Mei- Usaha baharu Texas untuk mengharamkan warga China dan bukan warganegara daripada membeli hartanah mencetuskan bantahan daripada pihak yang mendakwa undang-undang itu akan menyemarakkan diskriminasi terhadap golongan minoriti.

Usul tersebut sebelum ini gagal diluluskan pada 2023, namun kini kembali sejajar dengan kembalinya Presiden Donald Trump ke White House dengan agenda keras antiimigresen dan Anti-China.

Rang Undang-undang Texas, SB 17, mengharamkan bukan warganegara dari negara yang dianggap ancaman keselamatan negara oleh Amerika Syarikat daripada membeli apa-apa bentuk hartanah.

Senarai negara tersebut termasuk China, Iran, Korea Utara dan Rusia. Namun pindaan terbaharu memberi kuasa kepada Gabenor Greg Abbott iaitu sekutu rapat Trump untuk menambah senarai negara lain mengikut budi bicaranya.

Ratusan penunjuk perasaan pada Sabtu berarak di sini sambil membawa plakad bertulis "Hentikan kebencian" dan "Perumahan adalah hak asasi manusia."

“Jika anda buat undang-undang menyasarkan orang hanya kerana asal-usul atau negara mereka, itu adalah perkauman. Ini undang-undang rasis,” kata Alice Yi, pengasas bersama Asian Texans for Justice.

“Ini juga negara kami,” tambah beliau yang berusia 68 tahun.

Data Banci AS menunjukkan bahawa masyarakat Asia merangkumi kira-kira 6% daripada penduduk Texas pada tahun 2023 bersamaan 1.7 juta orang daripada 31.3 juta dan merupakan kumpulan yang paling pesat berkembang di negeri itu.

“Bukan semua orang adalah perisik, bukan semua ada kaitan dengan negara asal mereka,” kata Eileen Huang, 42, dari Texas Multicultural Advocacy Coalition.

“Ramai yang melarikan diri dari negara asal sebab mereka sendiri tidak bersetuju dengan kepimpinan negara itu,” tambahnya.

Ketua Demokrat di Dewan Perwakilan Texas, Wakil Rakyat Gene Wu, berkata pengecualian untuk pemegang kad hijau tidak mencukupi.

“Masalahnya, anda tak boleh mohon kad hijau atau kewarganegaraan jika anda tak dapat buktikan anda boleh tinggal di sini secara tetap,” katanya kepada AFP.

Rang Undang-undang SB 17 telah diluluskan di Dewan Perwakilan pada Jumaat dengan beberapa pindaan, dan kini perlu diluluskan sekali lagi oleh Dewan Senat.

Dengan ketegangan politik dan ekonomi antara Washington dan Beijing yang semakin meningkat, larangan serupa terhadap pemilikan tanah oleh warga China turut muncul di beberapa negeri lain.

Texas sendiri telah meluluskan undang-undang pada 2021 yang melarang syarikat dari beberapa negara, termasuk China, daripada menyambung kepada grid tenaga negeri itu.

Undang-undang tersebut bertujuan menghalang ahli perniagaan China, Sun Guangxin, daripada membina ladang angin besar di Texas.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD