MIAMI, 18 Julai- Seorang lelaki dari Florida telah ditangkap kerana membuat ugutan terhadap Presiden AS Joe Biden, hanya beberapa hari selepas tragedi percubaan membunuh pesaingnya daripada Parti Republikan Donald Trump.
Jason Patrick Alday, 39, telah ditangkap pada Isnin, kata Pejabat Peguam AS.
Alday, dari Quincy, Florida, didakwa "terlibat dalam menghantar komunikasi mengancam, membuat ugutan terhadap Presiden Joe Biden dan pegawai persekutuan lain," kata pejabat itu pada Rabu.
Menurut fakta kes, Alday membuat kenyataan ugutan mengenai Biden semasa sedang menerima rawatan di fasiliti kesihatan mental di Tallahassee, Florida, bulan lalu.
Dia didakwa membuat ugutan lanjut dalam hantaran di X.
Alday telah diperintahkan ditahan sementara menunggu perbicaraan.
Trump, 78, cedera di telinga apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan semasa perhimpunan kempen pada Sabtu di Butler, Pennsylvania.
Dalam kejadian tersebut, seorang peserta perhimpunan terbunuh manakala suspek yang berusia 20 tahun, Thomas Matthew Crooks, ditembak mati oleh penembak tepat perkhidmatan rahsia.-AFP