fb fb fb fb fb

Tuvalu akan menamakan Perdana Menteri baharu hari ini

Keadaan air pasang, di Funafuti, Tuvalu/REUTERS

SYDNEY, 26 Februari- Tuvalu akan mengumumkan seorang Perdana Menteri baharu, yang dijangka akan dipilih tanpa ditentang oleh penggubal undang-undang di negara Kepulauan Pasifik itu, kata seorang pegawai pada Isnin.

Menurut dua sumber yang memberitahu Reuters, Feleti Teo, merupakan peguam negara pertama Tuvalu dan mempunyai pengalaman berpuluh tahun menerima sokongan sebulat suara daripada 16 penggubal undang-undang.

"Hanya satu pencalonan diserahkan kepada Gabenor Jeneral," kata seorang Pegawai Pilihan Paya Tuvalu Tufoua Panapa.

Beliau enggan menamakan calon tetapi berkata Gabenor Jeneral akan membuat pengumuman selepas pengundian rasmi oleh penggubal undang-undang pada pagi Isnin.

Teo merupakan peguam negara pertama Tuvalu, dan telah bekerja sebagai pegawai kanan perikanan serantau sejak sedekad lalu iaitu sebagai Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perikanan Pasifik Barat dan Tengah.

Keputusan pilihan raya di Tuvalu ditangguhkan selama tiga minggu kerana cuaca berbahaya dan menghalang bot daripada membawa penggubal undang-undang baharu itu ke ibu negara untuk mengundi Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri Tuvalu Kausea Natano kehilangan kerusinya dalam pilihan raya umum pada 26 Januari lalu dan diperhatikan oleh Taiwan, China, Amerika Syarikat dan Australia.

Tuvalu, dengan populasi kira-kira 11,200 penduduk di sembilan pulau, adalah salah satu daripada tiga baki sekutu Taiwan. Perkara itu selepas Nauru memutuskan hubungan bulan lalu dan beralih ke Beijing, kerana dijanjikan lebih banyak bantuan pembangunan.

Terdapat juga gesaan oleh beberapa penggubal undang-undang untuk mengkaji semula perjanjian luas yang ditandatangani dengan Australia pada November, yang membolehkan Canberra menyemak kerjasama polis, pelabuhan dan telekomunikasi Tuvalu dengan negara lain. Ia sebagai timbal balas kepada jaminan pertahanan dan membenarkan rakyat berhijrah berikutan kenaikan paras laut.

Perjanjian itu dilihat sebagai usaha untuk mengekang pengaruh China yang semakin meningkat sebagai penyedia infrastruktur di Kepulauan Pasifik.

Pendirian Teo mengenai hubungan Taiwan, dan pakatan keselamatan serta migrasi Australia, belum didedahkan kepada umum.

Kementerian Tuvalu juga dijangka diputuskan pada hari ini.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI