fb fb fb fb fb

Turkiye terus beri tekanan ke atas Israel

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan (kanan) bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ankara, Turkiye pada Rabu/ REUTERS

ANKARA, 15 Ogos- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberitahu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang melawat pada Rabu bahawa pihaknya akan terus menyokong perjuangan Palestin dan mendorong masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan ke atas Israel.

Kedua-dua pemimpin itu membincangkan perkembangan terkini dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk gencatan senjata yang berkekalan dan keamanan di Gaza, kata pejabat Erdogan dalam catatan di X.

Erdogan mengutuk tindakan zalim Israel di Gaza dan membidas beberapa negara Barat yang berdiam diri dan terus menyokong Israel.

Erdogan juga memberitahu Abbas bahawa semua negara, terutama di dunia Islam, harus meningkatkan usaha untuk memastikan gencatan senjata segera di Gaza dapat dicapai dan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa gangguan kepada rakyat Palestin.

Abbas bersedia untuk berucap pada sesi parlimen Turkiye hari ini.

Serangan Israel ke atas Gaza bermula selepas pada 7 Oktober lalu.

Turkiye telah mengecam perang dan telah menghentikan semua perdagangan dengan Israel. Ia mengemukakan permintaan untuk menyertai kes Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Pelawaan Turkiye kepada Abbas dibuat selepas perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap di Kongres AS pada 25 Julai, yang telah dikutuk oleh Ankara.

Kami akan menunjukkan bahawa Abbas mempunyai hak untuk berucap di parlimen kami sama seperti Netanyahu mempunyai hak untuk berucap di Kongres AS.

Erdogan, yang selama ini menjadi penyokong tegar Hamas, berkata Turkiye juga telah merancang untuk menjemput pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI