ISTANBUL, 17 Mei - Turkiye telah menemukan rizab gas asli baharu sebanyak 75 bilion meter padu (bcm) di Laut Hitam, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami telah menemui satu rizab gas asli baharu sebanyak 75 bilion meter padu di lapangan. Dengan jumlah ini, kami akan dapat memenuhi keperluan gas kediaman sahaja selama kira-kira 3.5 tahun," kata Erdogan dalam ucapannya pada majlis pembukaan Hospital Latihan dan Penyelidikan Terapi Fizikal dan Pemulihan Istanbul.
"Kerja-kerja kami di telaga Goktepe-3 (di Laut Hitam), yang bermula pada 27 Mac dengan kapal penggerudi generasi ketujuh kami, Abdulhamid Han, telah selesai setakat semalam," katanya.
Erdogan menekankan komitmen Ankara terhadap kebebasan tenaga. "Kami akan terus maju tanpa berhenti, tanpa rehat, dan tanpa menghiraukan kritikan atau halangan sehingga mencapai matlamat menjadi Turkiye yang bebas tenaga sepenuhnya."- BERNAMA