ANKARA, 18 Mei- Presiden Palestin Mahmoud Abbas menggesa negara-negara Arab untuk mengguna pakai pelan bersama bagi menamatkan perang Israel yang berterusan ke atas Gaza, ketika pemimpin-pemimpin berhimpun di Baghdad untuk menghadiri Sidang Kemuncak Liga Arab ke-34 pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Abbas turut mencadangkan satu persidangan antarabangsa di Kaherah bagi membiayai dan melaksanakan pembinaan semula Gaza, yang menurutnya kini tidak lagi dapat didiami.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan pilihan raya presiden dan badan perundangan pada 2025, sebaik sahaja syarat-syarat yang sesuai diwujudkan di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis.
Persidangan yang dihoskan oleh Iraq buat kali pertama sejak 2012 itu diadakan di tengah-tengah kempen ketenteraan Israel di Gaza, yang telah meragut lebih 53,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023, menurut sumber Palestin.
Presiden Iraq Abdul Latif Rashid mengecam apa yang disifatkannya sebagai "pencerobohan Israel yang berterusan" dan menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza atas apa jua alasan.
“Keselamatan bersama Arab tidak boleh dipecahkan," kata Rashid, sambil menggesa negara-negara Arab bekerjasama bagi mengekalkan kestabilan serantau.
Menteri Luar Bahrain Dr Abdullatif Al-Zayani, selaku pengerusi persidangan ke-33 yang lepas, menegaskan sokongan Bahrain terhadap pembinaan semula Gaza dan usaha mengekalkan gencatan senjata.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menyeru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk meningkatkan tekanan bagi gencatan senjata segera di Gaza.
Beliau memberi amaran bahawa tanpa penubuhan sebuah negara Palestin, kestabilan sebenar serantau akan sukar dicapai, walaupun Israel memperoleh lebih banyak perjanjian normalisasi.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, yang turut menghadiri persidangan itu berkata "Palestin sedang berdarah di depan mata kita," sambil mengumumkan inisiatif bersama dengan Palestin di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak penamatan sekatan ke atas Gaza.
Sanchez mencadangkan empat keutamaan segera menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza, meningkatkan tekanan untuk menghentikan keganasan, memajukan satu penyelesaian politik, dan meningkatkan dialog Eropah-Arab-Islam.
Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia Al-Sudani mencadangkan penubuhan dana Arab untuk menyokong usaha pemulihan di negara-negara yang terjejas konflik.
Iraq berjanji menyediakan AS$20 juta untuk pembinaan semula Gaza dan AS$20 juta lagi untuk Lubnan.
Mengenai Syria, Al-Sudani menegaskan sokongan terhadap perpaduan negara itu dan peralihan politik, serta mengalu-alukan keputusan terbaru AS untuk menarik balik sekatan, dengan harapan ia dapat mengurangkan penderitaan rakyat Syria.
Pemimpin lain yang menghadiri persidangan itu termasuk Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud.
Perdana Menteri Jordan Jafar Hassan mewakili Raja Abdullah, manakala Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam hadir bagi pihak Presiden Joseph Aoun.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres serta wakil-wakil organisasi antarabangsa dan serantau.
Menteri-menteri luar Arab sebelum ini telah meluluskan agenda persidangan, yang merangkumi lima isu dan inisiatif utama, dengan isu Palestin menjadi keutamaan.
Perbincangan turut dijangka merangkumi konflik yang berterusan di Yaman, Sudan, Syria dan Libya, serta rundingan nuklear antara Iran dan AS.- BERNAMA-ANADOLU