fb fb fb fb fb

Turkiye musnah 30,000 pokok ganja di tapak warisan UNESCO

Taman Hevsel diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2015 bersama Kubu Diyarbakir/Foto AFP

ISTANBUL, 19 Mei – Turkiye memusnahkan lebih 30,000 pokok ganja yang ditanam secara haram di kawasan taman bersejarah Hevsel Gardens, dekat Sungai Tigris, Diyarbakir.

Operasi besar-besaran ketika subuh itu melibatkan penyelam, bot, helikopter dan dron hasil kerjasama polis dan pasukan penguat kuasa dadah.

Pokok ganja ditemui di 31 lokasi tersembunyi dalam kawasan seluas 700 hektar yang terletak antara Kubu Diyarbakir dan Sungai Tigris.

Kesemua tanaman itu dianggarkan bernilai sekitar 2 bilion lira Turkiye (kira-kira) RM250 juta.

Penanam ganja dipercayai menggunakan khemah dan sistem pengairan dari Sungai Tigris untuk melindungi tanaman mereka.

Faktor geografi kawasan berteres dan tiada laluan kenderaan membolehkan aktiviti haram itu dijalankan secara senyap tanpa mudah dikesan pihak berkuasa.

Setakat ini, tiada tangkapan dilaporkan.

Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Turkiye.

Sebagai rekod, Taman Hevsel diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2015 bersama Kubu Diyarbakir kerana kepentingan sejarah dan budayanya, selain masih aktif digunakan bagi penanaman hasil pertanian. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN