SYDNEY, 18 Mei- Kesatuan Eropah (EU) berhasrat menjalinkan perkongsian pertahanan bersama Australia, sebagai sebahagian daripada usaha blok itu untuk membentuk tindak balas antarabangsa yang bersatu terhadap perang di Ukraine dan krisis global lain.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, merujuk kepada perjanjian keselamatan serupa yang dimeterai bersama Korea Selatan dan Jepun pada akhir tahun lalu.
"Kami melihat Australia sebagai rakan strategik," katanya semasa pertemuan bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, di Rome, ketika pemimpin dunia berhimpun selepas pelantikan Pope Leo. Rakaman pertemuan itu turut dikongsikan menerusi media sosial.
"Kami sangat berhasrat untuk meluaskan lagi kerjasama strategik ini", katanya.
Tambahnya, pihak EU berasa amat gembira sekiranya kedua-dua pihak dapat membangunkan perkongsian dalam bidang keselamatan dan pertahanan, sambil merujuk kepada ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di peringkat global.
Sementara itu, Perdana Menteri Albanese menegaskan bahawa Australia dan Kesatuan Eropah kekal bersatu teguh menyokong rakyat Ukraine.
"Kita berkongsi nilai-nilai yang sama, yang sangat penting dalam dunia yang penuh ketidaktentuan hari ini," ujar beliau.
Kesatuan Eropah sedang giat membina hubungan keselamatan baharu, ketika kebimbangan bahawa Amerika Syarikat mungkin menarik diri daripada komitmen keselamatan benua itu di bawah pimpinan Presiden Donald Trump.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, blok tersebut mengadakan kerjasama pertahanan dengan India, serta memeterai perjanjian keselamatan dengan Korea Selatan dan Jepun, iaitu negara-negara yang sebelum ini bukan sebahagian daripada kepentingan pertahanan utama EU.-AFP