fb fb fb fb fb

Turkiye haramkan buang pekerja, tawar sokongan gaji di zon gempa bumi

ANKARA, 22 Februari - Turkiye melancarkan skim sokongan gaji sementara dan mengharamkan pemberhentian kakitangan di 10 bandar bagi melindungi pekerja dan perniagaan daripada kesan kewangan akibat gempa bumi kuat yang melanda selatan negara itu awal bulan ini.

Langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan Turkiye untuk meminimumkan kesan ekonomi akibat gempa bumi yang terburuk melanda negara itu yang mengorbankan puluhan ribu orang dalam sejarah moden.

Menurut warta rasmi negara itu pada Rabu, majikan yang tempat kerjanya telah "rosak teruk atau sederhana" akan mendapat manfaat daripada sokongan untuk menampung sebahagian gaji pekerja yang dipotong.

Larangan pemberhentian pekerja juga diperkenalkan di 10 wilayah yang dilanda gempa bumi yang diletakkan dalam keadaan darurat.

Parlimen Turkiye mengenakan darurat selama tiga bulan pada 7 Februari, selepas permintaan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Kerajaan negara itu juga menawarkan sokongan gaji dan mengenakan larangan pemberhentian pekerja pada 2020 dalam usaha untuk mengurangkan tamparan ekonomi akibat COVID-19.

Kumpulan perniagaan dan ahli ekonomi berkata gempa bumi itu boleh menelan belanja Ankara sehingga AS$100 bilion (kira-kira RM444 bilion) untuk membina semula perumahan dan infrastruktur, dan mengurangkan satu hingga dua mata peratusan daripada pertumbuhan ekonomi tahun ini. - Reuters

Media Baharu