fb fb fb fb fb

Turkiye hantar pasukan penyelamat ke Gaza, sertai misi antarabangsa

Pasukan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) akan bergabung di Ankara sebelum diterbangkan ke Gaza, bersama pasukan dari wilayah lain di Turkiye / REUTERS

ERZURUM, 15 Oktober -Pasukan mencari dan menyelamat Turkiye berlepas ke Gaza bagi menyertai misi antarabangsa bawah perjanjian damai Israel-Hamas.

Pasukan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) itu akan bergabung di Ankara sebelum diterbangkan ke Gaza, bersama pasukan dari wilayah lain di Turkiye.

Mereka dijangka menjadi sebahagian daripada pasukan tugas khas yang turut melibatkan Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir.

Misi berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mengesan mayat tebusan yang masih tidak diketahui lokasinya di Gaza, selain bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ketua AFAD Erzurum, Selahattin Karsli menegaskan, penyertaan pasukan itu melambangkan komitmen Turkiye untuk terus membantu Gaza.

“Seperti biasa, AFAD dihantar untuk berada di barisan hadapan, merawat luka dan penderitaan saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.

Keberangkatan pasukan turut disertai majlis doa ringkas bersama keluarga dan pegawai tempatan di Erzurum sebelum mereka bergerak ke Ankara.

Turkiye sebelum ini aktif dalam rundingan gencatan senjata di Mesir dan kini memainkan peranan lebih besar dalam misi kemanusiaan.

Ankara juga kekal sebagai pengkritik lantang serangan Israel yang disifatkan sebagai genosid terhadap rakyat Palestin. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN