fb fb fb fb fb

Reformasi pencen Macron tergantung, imej politik semakin tercalar

Emmanuel Macron, Presiden Perancis / REUTERS

PARIS, 15 Oktober -Keputusan Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu untuk menggantung pelaksanaan reformasi pencen dilihat sebagai satu tamparan besar kepada Presiden Emmanuel Macron.

Pengumuman itu dibuat di Parlimen semalam selepas tekanan daripada wakil rakyat pembangkang, khususnya kumpulan berhaluan kiri yang mengancam untuk bergabung dengan blok kanan menjatuhkan kerajaan.

Langkah itu disambut dengan tepukan oleh anggota Parlimen Sosialis.

Beberapa akhbar utama turut menyiarkan tajuk sinis, antaranya “asap penutup” dan “pengakhiran Macronisme.”

Penganalisis politik, Stewart Chau dari firma Verian berkata, keputusan tersebut jelas melemahkan kedudukan Macron.

“Ini satu langkah ke belakang bagi Macronisme, kerana ia antara sedikit reformasi utama dalam penggal keduanya,” katanya.

Stewart ChauStewart Chau, Penganalisis politik

Reformasi pencen yang diluluskan pada 2023 sebelum ini menaikkan umur persaraan daripada 62 kepada 64 tahun, meskipun mendapat tentangan besar di jalanan.

Bagaimanapun, Lecornu mengesahkan tiada kenaikan baharu akan dilaksanakan sebelum Januari 2028.

Penangguhan ini dijangka menelan kos €400 juta pada 2026 dan €1.8 bilion pada 2027.

Chau menjangka penggantungan ini mungkin berlanjutan sehingga kerajaan baharu mengambil alih.

Tambah beliau, walaupun majoriti rakyat sedar sistem pencen sedia ada tidak mampan, cara Macron mengurus isu itu mengecewakan banyak pihak.

“Ramai rakyat berpendapat Macron gagal kerana cara beliau bertindak, yang dilihat autoritarian dan terlalu jauh daripada keresahan rakyat,” katanya.

Kegagalan ini, jelasnya, hanya mengukuhkan persepsi bahawa Macron sukar melaksanakan reformasi besar sepanjang dua penggal pemerintahannya.

Perancis kini berdepan krisis politik paling serius dalam beberapa dekad, apabila kerajaan minoriti bergelut meluluskan bajet.

Lecornu mencadangkan pemotongan €30 bilion bagi mengurangkan defisit kepada 4.7 peratus pada 2026.

Bagaimanapun, badan pemantau fiskal negara memberi amaran sasaran itu terlalu optimistik. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN