RAMALLAH, 15 Oktober -Nasser al-Qudwa, anak saudara kepada pemimpin Palestin, Yasser Arafat, kembali ke Tebing Barat selepas empat tahun hidup dalam buangan.
Kepulangan beliau disertai pelan pascaperang Gaza yang menekankan keperluan persefahaman dengan Hamas, demi mengelak pertumpahan darah berulang.
“Gaza mesti ditadbir rakyat Palestin sendiri. Tidak ada gunanya kuasa asing campur tangan, lebih-lebih lagi jika mahu meletakkan orang luar untuk mengawal Gaza,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau secara terbuka menolak cadangan agar tokoh Barat seperti Tony Blair mengetuai sebarang badan antarabangsa untuk Gaza.
Katanya, Palestin sudah membayar harga tinggi untuk merdeka dan hanya rakyat Palestin berhak menentukan masa depan mereka.
Al-Qudwa yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Fatah sebelum ini dipecat pada 2021 selepas mencabar kepimpinan parti dalam pilihan raya.
Namun minggu lalu beliau diterima semula selepas Presiden Mahmoud Abbas menawarkan pengampunan.
Dalam pertemuan bersama media, beliau menegaskan perlunya reformasi besar dalam Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin.
“Kita mesti pulihkan keyakinan rakyat. Itu hanya boleh berlaku dengan demokrasi yang sebenar, melawan rasuah dan menunjukkan keberanian untuk berubah,” ujarnya.
Beliau hadir ketika dunia menunggu pelaksanaan pelan damai yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pelan itu mencadangkan jawatankuasa teknokrat Palestin mentadbir Gaza, dengan sokongan pasukan antarabangsa.
Al-Qudwa berpandangan, Hamas perlu melepaskan kawalan pentadbiran dan keselamatan, serta meletakkan senjata bawah struktur baharu.
Bagaimanapun, jaminan mesti diberi agar Gaza tidak kembali dipinggirkan.
Beliau juga menegaskan kesediaannya untuk kembali ke Gaza jika diperlukan.
“Tempat itu hancur dan penuh penderitaan. Tapi Gaza tetap sebahagian daripada negara kita. Saya tidak boleh lari daripada tanggungjawab itu,” tegasnya. -REUTERS