fb fb fb fb fb

Turkiye balas serangan maut, pemberontak Kurdish

Foto AFP

ANKARA, 24 Oktober- Turkiye melancarkan serangan ke atas pemberontak Kurdish di Iraq dan Syria pada Rabu atas serangan yang mengorbankan lima individu di sebuah firma pertahanan berhampiran Ankara. Seramai 22 individu lagi cedera dalam serangan itu.

Menurut jurucakap kerajaan serangan berkenaan "kemungkinan besar" dilakukan oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

Beberapa jam kemudian, "operasi udara telah dijalankan terhadap sasaran pengganas di utara Iraq dan Syria," kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

"Sebanyak 32 sasaran milik pengganas (pemberontak Kurdish ) berjaya dimusnahkan," tambah kenyataan itu yang turut menjelaskan operasi diteruskan.

Pemberontak Kurdish disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan sekutu Baratnya. PKK telah melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad terhadap negara Turkiye. Ia mempunyai beberapa pangkalan di wilayah Kurdish di Iraq dan Syria.

Serangan itu menyebabkan satu letupan besar menggegarkan ibu pejabat Turkish Aerospace Industries (TAI) yang dikendalikan kerajaan kira-kira 40 kilometer (25 batu) di utara Ankara kira-kira pukul 3.30 petang.

Insiden itu dikecam oleh Menteri Dalam Negeri Turkiye Ali Yerlikaya dan disifatkan sebagai "serangan pengganas".

Sementara itu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, yang berada di Rusia untuk perbincangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, menyifatkan ia sebagai serangan "kejam" kerana menyerang pertahanan Turkiye dan "mengancam kelangsungan hidup di negara kita," tulisnya dalam satu hantaran di X.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI