fb fb fb fb fb

Turki tingkat siasatan bangunan runtuh, perintah 113 suspek ditangkap

ISTANBUL, 12 Februari- Turki berikrar untuk menyiasat secara menyeluruh sesiapa yang disyaki bertanggungjawab ke atas keruntuhan bangunan dalam gempa bumi di negara itu hampir seminggu lalu dan telah pun mengarahkan penahanan 113 suspek pada Ahad.

Naib Presiden Fuat Oktay berkata, seramai 131 suspek dikenal pasti bertanggungjawab terhadap keruntuhan sebahagian daripada beribu-ribu bangunan di 10 wilayah.

"Perintah penahanan telah dikeluarkan kepada 113 suspek," kata Oktay kepada pemberita dalam taklimat di pusat penyelarasan pengurusan bencana di Ankara.

"Perkara ini akan diteliti sehingga proses kehakiman selesai, terutama bagi bangunan yang mengalami kerosakan teruk dan bangunan yang menyebabkan kematian dan kecederaan."

Beliau berkata kementerian kehakiman telah menubuhkan biro siasatan jenayah gempa bumi di wilayah zon gempa untuk menyiasat kematian dan kecederaan.

Menteri Alam Sekitar Murat Kurum berkata bahawa 24,921 bangunan di seluruh wilayah itu runtuh dan rosak teruk dalam gempa bumi, berdasarkan penilaian lebih daripada 170,000 bangunan.

(Separuh bangunan runtuh di Adana, berikutan gempa bumiyang melanda Turkiye/REUTERS)

Lapan orang telah ditahan di Sanliurfa dan empat di Osmaniye berkaitan dengan bangunan yang musnah dipercayai mempunyai kerosakan, seperti tiang yang dialihkan.

Menurut Anadolu, polis menahan pemaju sebuah kompleks kediaman yang runtuh di Antakya di Lapangan Terbang Istanbul sebelum menaiki pesawat ke Montenegro pada petang Jumaat.

Dia secara rasmi ditangkap pada hari Sabtu.

Kompleks kediaman 12 tingkat mewah itu siap dibina sedekad lalu dan memiliki 249 pangsapuri.

Tiada maklumat mengenai mangsa yang terkorban di bangunan itu.

Bagaimanapun, lelaki yang ditahan itu tidak mengetahui punca yang menyebabkan kompleks itu runtuh dan perjalanannya ke Montenegro tiada kaitan dengan tragedi itu, lapor Anadolu.

“Kami memenuhi semua prosedur yang ditetapkan dalam perundangan,” katanya dalam satu kenyataan. "Semua lesen telah diperolehi."- REUTERS

Media Baharu