DUBAI, 20 Mei – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan tuntutan Amerika Syarikat agar Tehran menghentikan aktiviti pengayaan uranium sebagai "melampau dan tidak masuk akal", menurut laporan media rasmi negara itu.
"Saya tidak fikir rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat akan membuahkan hasil. Saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku," kata Khamenei, sambil menambah bahawa Washington perlu menghentikan tuntutan yang keterlaluan dalam rundingan tersebut.
Rundingan nuklear antara kedua-dua negara dijangka memasuki pusingan kelima hujung minggu ini di Rom, namun prospek kejayaan rundingan dilihat semakin goyah apabila Iran dan Amerika terus berselisih faham mengenai isu pengayaan uranium.
Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht-Ravanchi, pada Isnin menyatakan bahawa rundingan akan gagal jika Amerika terus mendesak Iran menghentikan pengayaan uranium domestik.
Washington mendakwa pengayaan tersebut boleh menjadi laluan kepada pembangunan senjata nuklear.
Namun Tehran menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan keamanan.-REUTERS
Sementara itu, seorang lagi Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, pada Selasa berkata Tehran telah menerima dan sedang meneliti cadangan baharu daripada Amerika Syarikat.
Kenyataan itu hadir selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, minggu lalu memberi amaran bahawa Iran perlu "bergerak pantas atau sesuatu yang buruk akan berlaku".
Sepanjang penggal pertama kepresidenannya (2017–2021), Trump telah menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa dunia yang ketika itu mengehadkan aktiviti pengayaan Iran sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan antarabangsa.
Trump turut mengembalikan sekatan besar-besaran terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas oleh Tehran dengan meningkatkan semula tahap pengayaan uranium.-REUTERS.