JAKARTA, 20 Mei - Ratusan pemandu perkhidmatan e-hailing atau e-panggilan mengadakan protes di beberapa bandar utama di Indonesia pada Selasa.
Mereka menuntut bayaran lebih tinggi serta membantah rancangan penggabungan antara syarikat teknologi terbesar negara, GoTo, dengan Grab.
Protes tertumpu di sekitar pejabat presiden, bangunan parlimen, dan pejabat kementerian pengangkutan, di mana ratusan pemandu berkumpul, lengkap dengan jaket serta topi keledar berwarna hijau yang menjadi identiti mereka.
Para pemandu menyampaikan ucapan melalui pembesar suara dan membawa poster yang mengkritik dasar syarikat yang disifatkan sebagai tidak adil.
Mereka turut berkonvoi di beberapa jalan utama Jakarta sambil mengibarkan bendera.
Perkhidmatan e-panggilan, khususnya teksi motosikal atau ojek, merupakan komponen penting dalam sistem pengangkutan di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, terutama di kawasan bandar.
Gojek, unit di bawah GoTo, dengan lebih daripada 3.1 juta pemandu motosikal, bersama Grab telah lama mendominasi pasaran Indonesia. - REUTERS