fb fb fb fb fb

100 trak bantuan dilulus masuk Gaza- Pejabat Kemanusiaan PBB

Foto AFP

GENEVA, 20 Mei- Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memaklumkan bahawa kira-kira 100 trak bantuan telah diluluskan untuk memasuki Gaza, peningkatan ketara berbanding hanya sembilan trak yang dibenarkan sehari sebelumnya.

Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) Jens Laerke berkata pihaknya telah memohon dan menerima kelulusan untuk lebih banyak trak masuk hari ini.

“Jumlah yang diluluskan hari ini jauh lebih banyak daripada semalam,” katanya kepada wartawan di Geneva, menurut laporan Anadolu Ajansi.

“Kami menjangkakan dan tentunya berharap kebanyakan, jika tidak semua, trak itu akan dapat melintasi sempadan hari ini untuk dihantar lebih jauh ke dalam Gaza bagi tujuan agihan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah tepat, beliau menyatakan angkanya adalah "kira-kira 100".

Pengumuman itu dibuat sehari selepas hanya sembilan trak bantuan dibenarkan masuk melalui lintasan Kerem Shalom pada Isnin, satu jumlah yang disifatkan OCHA dan pertubuhan bantuan lain sebagai jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan kemanusiaan mendesak penduduk Gaza.

Daripada sembilan trak yang diluluskan pada Isnin, Laerke berkata hanya lima yang benar-benar dapat memasuki Gaza kerana kekangan logistik di lintasan sempadan.

“Daripada sembilan trak itu, lima berjaya melintasi ke Gaza...manakala empat lagi tidak dapat masuk disebabkan isu logistik,” jelasnya sambil menerangkan proses pemindahan yang rumit di lintasan tersebut. “Lintasan itu mempunyai pelbagai peringkat, termasuk pemindahan dan pembungkusan semula muatan dari satu trak ke trak lain sebelum dibenarkan masuk”.

Beliau menambah bahawa lima trak yang telah melintasi sempadan pada Isnin itu juga masih belum dibenarkan untuk dihantar sepenuhnya disebabkan kawalan berterusan pihak berkuasa Israel.

“Trak itu kini berada di peringkat terakhir kawalan Israel, dan kami memerlukan kebenaran untuk mengambilnya,” katanya.

Namun, Laerke memaklumkan bahawa keadaan berubah pada pagi Selasa.

“Pagi ini, kami telah mendapat kebenaran untuk mengambil lima trak tersebut. Setakat ini, itulah maklumat yang saya ada. Kami juga telah menerima kebenaran untuk mengambil lebih banyak trak yang dijangka masuk hari ini,” ujarnya.

OCHA dan agensi bantuan lain secara konsisten menggesa agar akses kemanusiaan yang selamat, berterusan dan berskala besar diberikan ke Gaza, menyaksikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api kini berada pada tahap kritikal.

Menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Gaza sejak Oktober 2023, yang telah mengorbankan hampir 53,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.- BERNAMA-ANADOLU

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM