fb fb fb fb fb

Gelombang haba di Punjab, sekolah tutup awal

Foto AFP

LAHORE, 20 Mei - Peningkatan suhu di Punjab, wilayah paling ramai penduduk di Pakistan memaksa kerajaan untuk menutup semua sekolah awam dan swasta lebih awal bagi cuti musim panas.

Menteri Pendidikan wilayah Punjab, Rana Sikander Hayat, berkata cuti musim panas kini akan bermula pada 28 Mei berbanding tarikh asal iaitu pada 1 Jun.

"Waktu kelas juga telah diubah, dengan semua institusi pendidikan diarahkan untuk tamatkan sesi dua jam lebih awal pada jam 11:30 pagi "disebabkan gelombang haba berterusan", menurut satu notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan.

Pakistan, salah satu negara yang paling terdedah kepada kesan pemanasan global, kini mengalami suhu luar biasa tinggi selepas musim sejuk yang sangat kering.

Suhu dijangka melonjak ke paras rekod tertinggi untuk bulan April, dengan 46.5 darjah Celsius di beberapa bahagian Punjab.

Sekolah-sekolah di wilayah itu yang menampung puluhan juta pelajar juga pernah ditutup selama seminggu pada Mei tahun lalu akibat cuaca panas melampau, dan selama beberapa minggu pada bulan November kerana tahap pencemaran udara yang toksik yang menyelubungi beberapa bandar.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI