fb fb fb fb fb

Tunjuk perasaan Jakarta bertukar ganas, seorang maut

Foto Reuters

JAKARTA, 29 Ogos – Seorang lelaki maut manakala puluhan lagi cedera apabila tunjuk perasaan di ibu negara Indonesia, Jakarta, bertukar ganas lewat malam Khamis (28 Ogos) selepas pihak polis bertempur dengan ratusan penunjuk perasaan yang menuntut reformasi politik dan ekonomi.

Penunjuk perasaan dilaporkan membantah beberapa isu termasuk gaji ahli parlimen, peruntukan dana pendidikan serta program makanan sekolah kerajaan.

Keadaan semakin tegang apabila polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air bagi menyuraikan orang ramai.

Awal bulan ini, media tempatan melaporkan ahli parlimen Indonesia menerima bayaran melebihi 100 juta rupiah (AS$6,150) sebulan termasuk elaun perumahan, jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding purata pendapatan bulanan rakyat negara itu iaitu 3.1 juta rupiah (AS$188).

Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata kekecohan itu mengakibatkan sebuah kenderaan perisai polis merempuh seorang penunggang motosikal e-hailing hingga maut.

Menurut persatuan penunggang motosikal, mangsa tidak terlibat dalam tunjuk perasaan berkenaan.

Susulan insiden itu, tujuh anggota polis yang mengendalikan kenderaan perisai tersebut telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan, kata Ketua Bahagian Profesional dan Keselamatan Polis Indonesia, Abdul Karim dalam sidang akhbar.

Sementara itu, Ketua Kesatuan Pelajar terbesar Indonesia, Muzammil Ihsan, mengumumkn para pelajar akan mengadakan protes menentang keganasan polis pada Jumaat (29 Ogos) petang, dengan penyertaan kumpulan pelajar lain turut dijangka. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN