fb fb fb fb fb

Korea Selatan guna hologram cegah jenayah

Foto Reuters

SEOUL, 29 Ogos – Polis Korea Selatan mengambil pendekatan baharu dalam usaha mengekang jenayah dengan memasang pegawai “hologram” bersaiz manusia di pusat bandar Seoul.

Imej pegawai polis itu ditayangkan pada panel akrilik setiap dua minit dari pukul 7 malam hingga 10 malam, manakala kawasan sekitar yang sering sibuk pada waktu malam kerana berhampiran deretan bar turut dipantau kamera pengawasan berkuasa kecerdasan buatan (AI).

Pegawai Polis Balai Jungbu, Kim Su-Hyang berkata, teknologi tersebut dilaksanakan bagi mewujudkan kehadiran polis secara visual.

“Adalah mustahil untuk menempatkan CCTV atau pegawai polis di setiap lokasi sepanjang masa, justeru kami mencuba cara ini sebagai langkah pencegahan,” katanya kepada Reuters.

Menurut rakannya, Kim Hyun-don, kadar jenayah di kawasan berkenaan, termasuk insiden keganasan akibat mabuk, menurun kira-kira 22 peratus sejak pemasangan pegawai hologram tersebut.

Inisiatif itu juga disambut baik oleh penduduk tempatan.

“Ia kelihatan seperti polis sebenar dan membuatkan saya rasa lebih selamat, seolah-olah ada pegawai berdiri di sebelah saya,” kata seorang penduduk, Choi In-jung. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN