NEW YORK, 29 Ogos – Indeks S&P 500 dan Dow Jones Industrial Average menutup dagangan pada paras tertinggi didorong oleh laporan kewangan Nvidia yang mengesahkan perbelanjaan besar terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) kekal kukuh.
Saham Nvidia susut 0.8 peratus selepas syarikat peneraju cip AI itu mengecualikan potensi jualan ke China daripada unjuran suku tahunannya, berikutan ketidakpastian perdagangan antara Washington dan Beijing.
Meskipun laporan kewangan tersebut tidak menepati jangkaan tinggi pelabur, hasil suku tahunan Nvidia meningkat 56 peratus, perkembangan yang dianggap sebagai bukti permintaan terhadap teknologi AI masih tinggi.
Perkembangan itu turut menyokong lonjakan saham berkaitan AI yang menjadi pemacu utama rekod baharu Wall Street sejak beberapa tahun lalu.
Pada penutupan dagangan, S&P 500 naik 0.32 peratus kepada 6,501.86 mata, sekali gus menandakan paras tertinggi untuk hari kedua berturut-turut.
Sementara itu, Nasdaq meningkat 0.53 peratus kepada 21,705.16 mata, manakala Dow Jones Industrial Average menambah 0.16 peratus kepada 45,636.90 mata, mengatasi rekod terdahulu pada 22 Ogos lalu. -REUTERS