MEXICO CITY, 29 Ogos – Brazil dan Mexico bakal menandatangani perjanjian dagangan tambahan pada Ogos tahun hadapan, umum Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum di sini, pada Khamis.
Menurut Alckmin, kedua-dua negara menandatangani perjanjian awal melibatkan sektor pertanian, kesihatan dan biofuel dalam mesyuarat yang berlangsung di Mexico City.
Brazil kini berusaha meningkatkan eksport daging lembu ke Mexico, yang baru-baru ini mengatasi Amerika Syarikat sebagai destinasi kedua terbesar bagi produk daging negara itu.
Bagaimanapun, Mexico menetapkan syarat kebolehkesanan ternakan, yang sedang diusahakan Brazil untuk dipatuhi.
Alckmin menyifatkan pertemuan dengan Sheinbaum sebagai “sangat baik”, sambil menegaskan perbincangan turut meliputi isu biofuel dan potensi pengeluaran bateri.
“Sheinbaum turut menyatakan minat terhadap mandat biofuel Brazil yang mewajibkan lebih banyak campuran biofuel dalam bahan api fosil,” katanya.
Walau bagaimanapun, Alckmin menjelaskan Brazil tidak boleh memeterai perjanjian perdagangan bebas yang lebih luas dengan Mexico tanpa melalui blok perdagangan Mercosur terlebih dahulu. -REUTERS