fb fb fb fb fb

Maduro puji Petro perkukuh sempadan, kecam kehadiran tentera laut AS di Caribbean

Foto Reuters

CARACAS, 29 Ogos – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro memuji langkah Presiden Colombia, Gustavo Petro yang mengerahkan 25,000 anggota tentera ke wilayah Catatumbo bagi memperkukuh keselamatan di sempadan kedua-dua negara.

Situasi itu berlaku ketika ketegangan meningkat susulan penempatan besar-besaran tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Caribbean Selatan, yang menurut Washington bertujuan memerangi kartel dadah Amerika Latin.

Maduro bagaimanapun mengecam langkah tersebut dan mempersoalkan perkara itu kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dengan menuduh AS melanggar Piagam PBB.

Pentadbiran Presiden Donald Trump sebelum ini menetapkan kumpulan jenayah termasuk Kartel Sinaloa Mexico dan Tren de Aragua Venezuela sebagai organisasi pengganas global.

Ia juga memberi kuasa kepada Pentagon untuk menggunakan tentera dalam memburu kartel dan kumpulan jenayah.

Sementara itu, Petro menegaskan koordinasi dua negara penting dalam menumpaskan mafia, manakala Maduro mengumumkan tambahan 15,000 anggota tentera ke sempadan barat serta menyeru kumpulan pertahanan awam mengadakan latihan mingguan.

Kerajaan Venezuela terus menuduh pembangkang dan kuasa asing bersekongkol dengan CIA untuk merosakkan negara, namun dakwaan itu berulang kali dinafikan oleh Washington. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN