fb fb fb fb fb

Majlis Keselamatan PBB lanjutkan mandat UNIFIL buat kali terakhir

Foto Reuters

NEW YORK, 29 Ogos – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis meluluskan Resolusi 2790 yang melanjutkan mandat Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) sehingga 31 Disember 2026, sebelum proses pengunduran dan penarikan keluar sepenuhnya dilakukan dalam tempoh setahun selepas tarikh tersebut.

Resolusi berkenaan turut menetapkan pembubaran UNIFIL selepas fasa pengunduran, dengan mengekalkan pasukan pengawal terhad bagi melindungi kakitangan, fasiliti dan aset, bersama kerjasama rapat dengan angkatan tentera serta pasukan keselamatan Lubnan.

Majlis Keselamatan menyeru kerajaan Lubnan menghormati sepenuhnya Perjanjian Status Pasukan 1995, termasuk kebebasan pergerakan, hak keistimewaan serta keselamatan kakitangan dan aset UNIFIL.

Resolusi itu juga menuntut pelaksanaan penuh Resolusi 1701, menggesa Israel berundur ke utara Garisan Biru serta menarik balik zon penampan, di samping meminta Lubnan memperluas kawalannya ke seluruh wilayah negara tersebut dengan sokongan berjangka masa daripada UNIFIL.

Timbalan Wakil Tetap China ke PBB, Geng Shuang, menegaskan sokongan Beijing terhadap lanjutan mandat itu demi memastikan kestabilan di Lubnan.

Beliau menekankan UNIFIL telah memainkan peranan penting mengekalkan keamanan di sepanjang Garisan Biru serta rantau lebih luas, meskipun menyifatkan tindakan sesetengah anggota tetap majlis yang mendesak penamatan misi dalam masa setahun sebagai “pendekatan simplistik dan mengecewakan”.

China turut menegaskan operasi pengaman PBB adalah keputusan kolektif Majlis Keselamatan, sambil mengkritik negara tertentu yang hanya menyokong misi pengaman apabila sejajar dengan kepentingan strategik mereka. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN