GAZA, 29 Ogos – Jumlah korban rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terus meningkat kepada 62,966 orang, manakala 159,266 lagi dilaporkan cedera sejak konflik antara Hamas dan Israel meletus pada 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada 18 Mac lalu selepas gencatan senjata singkat, seramai 11,121 orang terbunuh dan 47,225 lagi cedera.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, sekurang-kurangnya 71 orang terkorban dan 339 cedera akibat serangan Israel. Antara mangsa, 22 orang terbunuh dan 203 lagi cedera ketika sedang menerima bantuan bekalan.
Rekod hospital tempatan turut melaporkan empat kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh sama, termasuk dua kanak-kanak.
Secara keseluruhan, jumlah kematian akibat kelaparan kini mencecah 317 orang, dengan 121 daripadanya merupakan kanak-kanak.
Serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, pada Isnin lalu turut meragut 22 nyawa, termasuk petugas perubatan dan wartawan.
Rakaman baharu yang didedahkan CNN menunjukkan tentera Israel melancarkan tiga serangan ke atas hospital tersebut dalam tempoh 10 minit. -REUTERS
