fb fb fb fb fb

PM Thailand digantung tugas hadir ke Rumah Kerajaan menjelang keputusan kes etika

Paetongtarn Shinawatra / Foto Reuters

BANGKOK, 29 Ogos – Perdana Menteri Thailand yang digantung tugas, Paetongtarn Shinawatra hadir di Rumah Kerajaan hari ini menjelang keputusan Mahkamah Perlembagaan dalam kes etika berprofil tinggi melibatkan dirinya, susulan kebocoran perbualan telefon dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Kes berkenaan berpotensi menyingkirkan beliau selepas hanya setahun memegang jawatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik negara itu tanpa mengira keputusan yang bakal diumumkan.

Paetongtarn, 39, anak kepada bilionair berpengaruh Thaksin Shinawatra, didakwa seolah-olah tunduk kepada Hun Sen, mencetuskan kemarahan rakyat dan protes yang menggugat kedudukan kerajaan gabungan pimpinannya.

Beliau bagaimanapun memohon maaf dan menjelaskan tindakannya bertujuan meredakan ketegangan serta menyelamatkan nyawa.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan dijadual diumumkan pada jam 3 petang (0800 GMT).

Sekiranya Paetongtarn disingkirkan, rundingan politik dijangka berlangsung sebelum parlimen memilih perdana menteri baharu sama ada daripada parti pemerintah Pheu Thai, gabungan sedia ada atau pihak pembangkang. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN