JAKARTA, 29 Ogos – Seorang penunggang motosikal perkhidmatan e-hailing maut selepas dilanggar kenderaan berperisai polis ketika kekecohan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa berhampiran bangunan parlimen pada Khamis.
Mangsa, Affan Kurniawan, yang bekerja dengan perkhidmatan Gojek dan Grab, disahkan terbunuh dalam insiden berkenaan.
Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri mengesahkan kenderaan polis terbabit telah merempuh Kurniawan, walaupun beliau bukan peserta tunjuk perasaan.
Pada Jumaat, ratusan rakan penunggang motosikal menghadiri pengebumian Kurniawan di sebuah tanah perkuburan di Jakarta, sambil menyatakan solidariti terhadap keluarga mangsa.
Persatuan penunggang motosikal turut menegaskan Kurniawan tidak terlibat dalam demonstrasi yang membantah isu gaji ahli parlimen dan peruntukan pendidikan itu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menerusi mesej video khas, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan keadilan ditegakkan. -REUTERS