fb fb fb fb fb

Dua terbunuh dalam serangan udara Rusia di Dnipropetrovsk

Kemusnahan akibat serangan peluru berpandu Rusia di Sloviansk pada 28 Ogos 2025/ AFP

KIEV, 29 Ogos - Ukraine mengesahkan dua orang terbunuh dalam serangan udara Rusia di Dnipropetrovsk, beberapa hari selepas tentera Moscow mula mara ke wilayah itu.

"Malangnya, dua orang terkorban iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Salam takziah kepada ahli keluarga mangsa," kata Ketua Pentadbiran Ketenteraan Wilayah Dnipropetrovsk, Sergiy Lysak menerusi hantaran di Telegram.

Sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022, wilayah Dnipropetrovsk yang terletak di tengah negara itu sebahagiannya terselamat daripada pertempuran.

Selasa lalu, pihak berkuasa Ukraine mendakwa tentera Rusia telah memasuki wilayah berkenaan, susulan kenyataan serupa yang dibuat oleh Moscow sejak bulan lalu.

Lysak berkata, serangan dron di daerah Synelnyky turut mencederakan seorang wanita berusia 50 tahun.

"Serangan berasingan di bandar Dnipro mencederakan dua orang, termasuk seorang lelaki berusia 46 tahun yang berada dalam keadaan serius", katanya.

Dnipropetrovsk tidak termasuk antara lima wilayah Ukraine iaitu Donetsk, Kherson, Lugansk, Zaporizhzhia dan Crimea, yang didakwa secara terbuka oleh Moscow sebagai sebahagian daripada wilayah Rusia. Bagaimanapun, sejak Julai lalu, Rusia mendakwa telah menawan beberapa penempatan di wilayah tersebut.-AFP

ROSLINA BINTI DIN