TOKYO, 29 Ogos – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, menyatakan keyakinan terhadap potensi besar berhubung kerjasama antara Jepun dan India, ketika berucap pada Forum Ekonomi Jepun-India yang berlangsung di Tokyo, pada Jumaat.
Menurut Ishiba, pelbagai perjanjian kerjasama antara syarikat-syarikat dari kedua-dua negara merupakan bukti komitmen Jepun untuk terus melabur di India serta memperkukuh hubungan strategik dua hala.
“Hari ini, pemeteraian pelbagai perjanjian kerjasama antara syarikat dari Jepun dan India jelas membuktikan komitmen Jepun untuk memperluas pelaburan di India dan mempererat lagi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya dalam ucapan di hadapan wakil-wakil syarikat dari Jepun dan India.
Menurut penyiar awam Jepun, NHK, syarikat-syarikat Jepun dijangka melabur sehingga 10 trilion yen (AS$68 bilion) di India dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Lawatan Perdana Menteri India ke Jepun pada 29 hingga 30 Ogos 2025 dilihat siginfikan memandangkan kedua-dua negara merupakan anggota Kumpulan Quad bersama Australia dan Amerika Syarikat, yang berperanan memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik.
Selepas lawatan ke Jepun, Modi dijadual mengunjungi China bagi menghadiri sidang kemuncak dua hari Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang bermula Ahad (31 Ogos).