fb fb fb fb fb

Tunjuk perasaan di Turkiye bantah pemusnahan anjing liar

FOTO AFP

ISTANBUL, 3 Jun- Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di sini semalam bagi membantah cadangan Kerajaan Turkiye untuk memusnahkan anjing liar di negara berkenaan.

Mereka melaungkan perkataan, "Tidak, kepada pembunuh beramai-ramai" dengan membawa sepanduk di dataran Yenikapi.

Kerajaan telah menggubal undang-undang untuk menangkap dan mensterilkan anjing liar, sebelum mematikannya jika gagal mendapat tuan baharu dalam tempoh 30 hari

"Ini tidak baik untuk haiwan. Ia adalah undang-undang pembunuhan. Kami fikir kucing akan menjadi (mangsa) seterusnya," jelas seorang penunjuk perasaan, Sule Giritlioglu, seorang  jurutera berusia 27 tahun, kepada AFP.

Menurut kerajaan, pembaharuan itu diperlukan untuk mengekang bilangan anjing liar yang disifatkan membimbangkan, serta menghentikan insiden serangan ke atas manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan Turkiye sebagai negara "berisiko tinggi" untuk rabies dengan pegawai kerajaan menunjukkan terdapat lebih empat juta anjing liar di negara terbabit.

Sepanjang lima tahun lalu, Turkiye merekodkan sebanyak 3,544 kemalangan jalan raya, 55 kematian dan lebih 5,000 orang cedera disebabkan anjing liar.

"Kita mempunyai masalah dengan anjing liar yang tidak wujud di mana-mana negara maju," kata Presiden Recep Tayyip Erdogan, minggu lalu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA