BEIJING, 3 Jun- Harga durian di China menjunam kepada kurang AS$6 (RM28) sekilogram di tengah-tengah persaingan sengit antara Thailand dan Vietnam berebut untuk kontrak eksport ke negara tembok besar itu.
Pentadbiran Am Kastam China memaklumkan durian Thailand dijual murah pada harga AS$5.8 (RM27) sekilogram, manakala durian Vietnam dijual pada harga AS$4.22 (RM19) sekilogram pada April lepas.
Ia lebih rendah berbanding Mac, yang menyaksikan durian Thailand pada AS$6.49 (RM30) sekilogram dan durian Vietnam pada AS$5.23 (RM25) sekilogram.
Pada tahun 2021, Thailand menjadi pengeksport durian utama ke China dengan hampir memonopoli pasaran terbabit. Namun, ia semakin susut apabila China mula membeli daripada pembekal durian lain termasuk Vietnam.
Sementara itu, pakar berkata, gelombang haba di Thailand baru-baru ini telah menjejaskan pengeluaran durian dan menyebabkan buah-buahan mengecut sehingga membolehkan Vietnam mendapat kelebihan.
Vietnam juga mampu menjual durian dengan lebih murah kerana kos penghantaran lebih rendah dengan menghantarnya melalui satu sempadan darat.
Durian dianggap sebagai barangan mewah di China, selain negara terbesar di dunia bagi permintaan raja buah berkenaan. -Reuters