TANZA, 29 Julai- Tumpahan minyak dari sebuah kapal tangki marin yang karam di luar pantai Teluk Manila di Filipina telah sampai ke pantai perkampungan nelayan berhampiran.
Insiden itu akan memberi ancaman kesihatan dan menjejaskan lokasi mata pencarian nelayan, ketika usaha untuk menyerap sisa tumpahan sedang giat dilaksana.
MT Terra Nova membawa 1.5 juta liter bahan api industri, karam di laut bergelora di luar pantai Limay di wilayah Bataan, barat ibu negara Filipina, pada Khamis.
Dalam situasi itu, seorang anggota daripada 17 anak kapal, terbunuh.
Nelayan di pekan Tanza di wilayah Cavite, selatan Manila, kecewa selepas tompokan minyak mendarat di pantai bandar itu selain melaporkan terhidu bau busuk.
“Tumpahan minyak ini akan memberi kesan besar kepada kami, kerana nelayan bergantung kepada laut dan ia telah terjejas oleh minyak,” kata Renan Honsana, 48 tahun.
"Kami perlu menjual hasil tangkapan kami dengan sangat murah kerana orang ramai tidak akan membelinya. Dari mana kami boleh mencari rezeki kecuali ke laut ini," tambah Honsana.
Pengawal pantai Filipina berkata langkah awal menutup kebocoran dari kapal tangki yang terbalik telah dilaksana dan akan mula menyedut minyak untuk mengelakkan lebih banyak bahan api melimpah keluar.
Tinjauan di perairan Limay, Bulacan dan Cavite melalui udara menyaksikan "tompokan kilat minyak yang minimum".
Pegawai kini dalam siasatan untuk mengesahkan bahawa kapal yang karam itu ada kaitan dengan Taufan Gaemi, yang meningkatkan taburan hujan monsun di Filipina.
Bencana Gaemi itu telah mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang.
Tumpahan minyak dari kapal tangki MT Princess Empress, yang membawa kira-kira 800,000 liter bahan api industri apabila ia terbalik dan akhirnya tenggelam pada Februari tahun lepas, mengambil masa tiga bulan untuk dibersihkan, menjejaskan bandar pelancongan.- REUTERS