fb fb fb fb fb

Presiden baharu Iran beri amaran Israel agar tidak menyerang Lubnan

Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian/ REUTERS

TEHRAN, 30 Julai- Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Isnin memberi amaran kepada Israel agar tidak menyerang Lubnan ketika ketegangan memuncak berikutan serangan roket di Dataran Tinggi Golan.

Rejim Zionis (Israel) akan melakukan kesilapan besar dengan akibat yang berat jika ia menyerang Lubnan, kata Pezeshkian semasa panggilan telefon dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menurut laman web presiden Iran itu.

Pezeshkian memikul tanggungjawab rasminya sebagai presiden pada Ahad selepas pengesahan rasmi daripada pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamanei, dan akan mengangkat sumpah di Parlimen, hari ini.

Israel berikrar untuk bertindak balas selepas serangan di padang bola sepak di Majdal Shams, sebuah bandar Arab Druze di Dataran Tinggi Golan yang mengakibatkan 12 remaja terbunuh pada Sabtu lalu.

Israel menuduh pergerakan Hizbullah bertanggungjawab atas serangan itu, namun Hizbullah menafikan.

Hizbullah telah melakukan tembakan rentas sempadan hampir setiap hari dengan Israel bagi menyokong Hamas sejak serangan pada 7 Oktober ke atas Israel selatan yang mencetuskan perang di Semenanjung Gaza.

Pezeshkian, dalam panggilan telefonnya dengan Macron, mendakwa Israel melanggar semua rangka kerja dan undang-undang antarabangsa dalam jenayahnya terhadap rakyat Palestin.

Jurucakap kementerian luar Iran, Nasser Kanani pada Ahad memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang kemasukan ketenteraan baharu di Lubnan boleh membawa kepada akibat yang tidak dijangka dan meluaskan skop ketidakstabilan, ketidakamanan dan peperangan di rantau itu.

Kanani menyifatkan Israel menyalahkan Hizbullah untuk mengalihkan pandangan umum dan perhatian dunia daripada jenayah besar-besarannya yang dilakukannya di Semenanjung Gaza, di mana perang telah memuncak sejak 7 Oktober lalu.

Beliau menambah bahawa Israel tidak mempunyai kuasa moral sedikit pun untuk mengulas mengenai kematian di Majdal Shams, di Dataran Tinggi Golan, yang dirampas Israel dari Syria pada 1967 dan kemudian dilampirkan dalam satu langkah yang tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Iran tidak mengiktiraf Israel dan telah menjadikan sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai pusat dasar luarnya sejak revolusi Islam 1979.

Republik Islam itu memuji serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza tetapi menafikan sebarang penglibatan.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI