fb fb fb fb fb

Tujuh orang terbunuh, 44 orang cedera dalam letupan di balai polis Pakistan

(FOTO AFP)

PESHAWAR, 25 April - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam serangan di dalam balai polis anti-keganasan di Pakistan pada Isnin, menyebabkan bangunan tersebut runtuh, kata seorang pegawai polis.

Banyak letupan berlaku di bangunan di bandar Kabal di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang terbaharu dalam rentetan serangan berprofil tinggi yang menyasarkan polis di Pakistan.

"Letupan berlaku di dalam balai polis, mengakibatkan bangunan itu runtuh sepenuhnya," kata Khalid Sohail, pegawai kanan polis di jabatan anti-keganasan tempatan.

Bilal Faizi, jurucakap perkhidmatan menyelamat wilayah Khyber Pakhtunkhwa berkata "sekurang-kurangnya tujuh mayat telah ditemui dari bangunan runtuh manakala 44 orang yang cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan."


(Pasukan keselamatan berkumpul di lokasi selepas letupan berlaku di balai polis anti-keganasan
di Pakistan/AFP) 

"Satu siri, dua hingga tiga letupan bom berlaku," kata Akhtar Hayat Gandapur, inspektor jeneral polis Khyber Pakhtunkhwa kepada AFP.

Beliau menyatakan angka kematian adalah lapan orang dan yang cedera lebih 40 orang 'dengan majoriti mangsa adalah anggota polis'.

Serangan itu berlaku pada hari Pakistan menyambut perayaan Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan.

Tiada tuntutan bertanggungjawab segera, namun dua serangan ke atas pangkalan polis yang besar itu telah dikaitkan dengan Taliban Pakistan, yang dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) sejak awal tahun ini. -AFP

Media Baharu