fb fb fb fb fb

Konflik di Sudan: Beberapa negara mula pindahkan rakyat mereka

(FOTO AFP)

AMMAN, 25 April - Beberapa negara telah mula memindahkan rakyat mereka susulan konflik berterusan di Sudan ketika pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) masih berlarutan di Khartoum dan beberapa bandar berdekatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, pertempuran itu setakat ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 424 orang terbunuh dan kira-kira 3,730 orang cedera. 

Pihak berkuasa Mesir pada Ahad memindahkan 436 rakyatnya dari Sudan dengan menggunakan laluan darat.

Misi diplomatik Mesir di Khartoum, Pelabuhan Sudan dan Wadi Halfa akan terus berkoordinasi dengan warga Mesir di Sudan untuk memastikan proses pemindahan mereka berjalan lancar.

Setakat ini, kira-kira lebih 10,000 ribu rakyat Mesir dilaporkan berada di Sudan.

Sejak bermulanya konflik di Sudan pada 15 April lalu, syarikat penerbangan Mesir Egypt Air telah menangguhkan penerbangan keluar dan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.


(Orang ramai yang dipindahkan dari Sudan tiba di lapangan terbang tentera di Amman,
Jordan/AFP)

Sementara itu, Kementerian Luar Tunisia mengumumkan pada Ahad, pemindahan rakyatnya dari Khartoum bermula pada Isnin.

Di Accra, menurut Kementerian Luar Ghana, persiapan sedang diatur untuk memindahkan warga Ghana yang terkandas di Sudan.

Di Rom, Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata orang awam dan diplomat Itali yang mahu meninggalkan Sudan sudah pun dibawa keluar dari Khartoum menuju ke Djibouti.

Tajani sebelum ini mengumumkan pemindahan kira-kira 200 orang awam dan kakitangan kedutaan termasuk rakyat Switzerland, pekerja kedutaan Vatican dan kira-kira 20 lagi warga Eropah.

Sementara itu, kerajaan Sepanyol juga sudah memindahkan rakyat dan diplomatnya, kata Menteri Luar José Manuel Albares.

Menteri Pertahanan, Margarita Robles sebelum ini berkata, Sepanyol merancang untuk menempatkan enam pesawat sebagai sebahagian daripada operasi pemindahan. -AFP

Media Baharu