KOLKATA, 17 Jun- Sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila sebuah kereta api penumpang ekspres dan sebuah kereta api barang bertembung di Bengal Barat, India, menyebabkan tiga gerabak penumpang tergelincir, hari ini.
Pasukan penyelamat ketika ini sedang melakukan pemeriksaan pada gerabak terbabit kerana dikhuatiri terdapat lebih banyak mayat terperangkap di bawahnya.
"Kami mengesahkan tujuh kematian dan 39 penumpang dimasukkan ke hospital tempatan dengan pelbagai kecederaan," kata pegawai polis tempatan, Iftikar-Ul-Hassan.
Difahamkan, pemandu dan pengawal kereta api antara yang terkorban dalam nahas terbabit.
"Kami baru sahaja melhat mayat pemandu dan pengawal... mayat mereka telah dibawa keluar. Beberapa lagi mayat mungkin berada di bawah tapak nahas, tetapi kami belum mengetahui (angka korban) yang sebenar," kata Rajesh Kumar Singh daripada Pasukan Perlindungan Kereta Api.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee memaklumkan nahas di kawasan Phansidewa dekat daerah Darjeeling itu berlaku apabila kereta api Kanchenjunga Express dilanggar oleh kereta api barangan.
India mempunyai salah satu rangkaian kereta api terbesar di dunia dan mengalami beberapa tragedi berkaitan perkhidmatan itu sejak beberapa tahun, yang paling teruk pada 1981 apabila sebuah kereta api tergelincir semasa melintasi jambatan di Bihar, mengorbankan kira-kira 800 orang. -AFP